OnStage by MDAILY.
Concert News

Petikan 'Berbisa' JoBranko, Kid, Hillary Warnai Konsert Magnum Opus M Nasir

Petikan 'Berbisa' JoBranko, Kid, Hillary Warnai Konsert Magnum Opus M Nasir
Kehadiran tiga gitaris rock legenda tanah air iaitu JoBranko, Kid Search dan Hillary Ang bakal menjadi antara tarikan utama yang mewarnai pentas Konsert Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5 (MOMND5) di Panggung Sari, Istana Budaya di sini, pada 5 Dis ini. Selain trio gitaris tersohor itu, konsert anjuran Luncai Emas Sdn Bhd berkenaan turut menampilkan barisan artis jemputan merentasi pelbagai generasi termasuk Ernie Zakri, Hazama, Hasnul Rahmat, Pi'e Ramayan, kumpulan Pita Hati serta duo hip hop, Kmy Kmo dan Luca Sickta. Petikan 'Berbisa' JoBranko, Kid, Hillary Warnai Konsert Magnum Opus M Nasir Datuk M. Nasir berkata kesemua artis jemputan itu dipilih sendiri oleh beliau berdasarkan kesesuaian konsep serta penghayatan mereka terhadap karya-karya ciptaannya sepanjang lima dekad mewarnai landskap muzik Nusantara. "Berbeza dengan konsert saya sebelum ini yang mana saya sendiri memilih senarai lagu, kali ini saya serahkan sepenuhnya kepada pencetus asal program ini iaitu Ismail Mohd Shariff dan pasukannya untuk memilih 35 lagu ikonik yang akan dipersembahkan," katanya pada sidang media konsert itu di Bendang KL, semalam. Petikan 'Berbisa' JoBranko, Kid, Hillary Warnai Konsert Magnum Opus M Nasir Mengulas kelainan MOMND5 berbanding dua siri wacana Magnum Opus terdahulu di Auditorium Mini MATIC pada 2017 dan Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (2019), sifu muzik itu berkata persembahan kali ini tidak menyelitkan sesi bual bicara di atas pentas. Sebaliknya, konsert berkonsepkan dokumentari muzikal itu akan mengetengahkan informasi mengenai sejarah dan latar belakang karya beliau menerusi paparan visual pada selang masa tertentu agar perjalanan persembahan kekal lancar. Pada konsert yang dijadual bermula pada jam 8 malam itu, M. Nasir akan diiringi kumpulan Gong bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) pimpinan Eric Lee dengan olahan muzik berorkestra oleh pengarah muzik berpengalaman, Mohd Rafi Shafie. Petikan 'Berbisa' JoBranko, Kid, Hillary Warnai Konsert Magnum Opus M Nasir Persembahan itu turut mendapat sentuhan Azmi Zainal Abidin sebagai pengarah persembahan, Ismail Mohd Shariff (reka bentuk produksi dan skrip) manakala Keon Omar bertindak sebagai penerbit eksekutif. Sementara itu, Luncai Emas Sdn Bhd mengesahkan sebanyak 90 peratus tiket konsert berkenaan telah terjual dengan kategori Grand Circle (RM538 dan RM638) serta Upper Circle (RM288 dan RM338) habis ditempah peminat. Penganjuran MOMND5 mendapat sokongan Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures menerusi Dana Persembahan Muzik di bawah Dana Kandungan Kreatif (DKK) Industri Muzik, manakala Istana Budaya bertindak sebagai rakan strategik dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyokong dari segi potongan cukai penajaan. Tiket bagi tempat duduk kategori Stalls iaitu Kategori A (RM1,588), B (RM1,188), C (RM988) dan D (RM838) masih boleh didapati menerusi laman sesawang www.ilassotickets.com.